Terdapat 2 jenis cat utama. Kedua-duanya bersifat cair. Selalunya dikenali sebagai cat berasaskan minyak (gloss) untuk kayu atau logam, dan yang berasaskan air (emulsion) untuk dinding dan siling.
Cat minyak mesti dimulakan dengan cat asas atau ‘undercoat’ terlebih dulu.
Cat emulsion tidak perlu ‘undercoat’ tetapi ia perlu disapu dua atau lebih kali di atas sesuatu permukaan bagi memadamkan warna permukaan asal. Lapisan pertama cat emulsion bertindak sebagai ‘undercoat’.
Anda boleh memahami dan lebih mengenali cat di laman web seni hias.
Sebelum memulakan kerja-kerja mengecat anda perlu tahu apa dan persediaan yang perlu anda ambil. Ini bagi memudahkan anda melakukan kerja-kerja mengecat.
Bersihkan permukaan yang mahu dicat
Bersihkan permukaan yang hendak di cat. Bersihkan dari habuk, lumut, contengan atau apa saja yang boleh mencacatkan hasil kerja anda nanti.
Pilih peralatan yang berkualiti
Pilih peralatan mengecat yang berkualiti jika anda mahukan hasil yang baik. Untuk kerja mengecat, berus atau penggelek cat perlu berkualiti. Pastikan bulu berus cat tidak mudah tercabut kerana ia akan mengganggu kerja mengecat dan menghasilkan cat yang tidak rata. Berus dan penggelek cat yang baik biasanya boleh dibasuh dan digunakan semula. Basuh menggunakan air biasa atau minyak mengikut jenis cat yang digunakan. Berus dan penggelek cat yang baik biasanya menggunakan bahan yang lembut bukannya keras.
Pilih cat yang sesuai
Gunakan cat untuk luar rumah hanya untuk kawasan berkenaan saja. Cat luar kediaman biasanya boleh juga digunakan untuk ruang dalaman kediaman. Namun, cat untuk dalaman rumah tidak boleh digunakan di luar kediaman. Baca label pada tin sebelum memilih cat. Cat ada beberapa jenis mengikut kandungan dan kesesuaian serta material yang digunakan. Jangan gunakan cat untuk besi bagi permukaan berasaskan kayu begitu juga sebaliknya.
Waktu mengecat
Kerja mengecat sebenarnya tidak boleh dilakukan sesuka hati saja. Untuk mendapatkan hasil yang baik beberapa perkara perlu di ambil kira terutama jika kerja mengecat membabitkan kawasan di luar kediaman. Waktu yang paling sesuai untuk mengecat luar kediaman adalah pada waktu pagi dan petang iaitu ketika matahari tidak terik. Ini kerana sesetengah cat cepat kering dan tidak digalakkan mengecat pada waktu panas terik kerana ia memberi tindakan kimia kepada cat yang digunakan. Apabila cat cepat kering akan menyebabkan cat merekah. Elakkan mengecat pada waktu hujan kerana ia menyebabkan cat hilang.
Tip: Langkah kerja mengecat
Siling - Amalkan mengecat bahagian siling dulu bagi mengelakkan cat menitis terus ke atas permukaan lantai dan dinding.
Dinding - Cat sempadan dulu selanjutnya menghala ke bawah. Sentiasa mulakan dengan mengecat tingkap terletak di hujung bilik dan jauh dari sumber cahaya bagi memudahkan anda melihat bahagian kawasan yang sudah selesai dicat.
Tingkap dan pintu - Sebelum mula, lindungi bahagian yang tidak perlu dicat seperti engsel, tombol, selak dan sebagainya. Bagi tingkap, cat bahagian rangka dalamnya dulu baru diikuti bingkai serta rangka yang lain. Sementara, untuk pintu, cat mana-mana acuan dulu sebelum panel, segmen melintang dan menegak manakala tubir pintu dicat akhir sekali.
Lantai - Ia dicat selepas dinding dan bahagian lain kering sepenuhnya. Bagaimanapun, pastikan lantai dibersih terlebih dulu kerana partikel habuk dan butir pasir menjadikan cat dilihat menggerutu dan tidak rata.