Skip to main content

Panduan Menampilkan Ketrampilan Diri

Khusus untuk wanita.
Rujukan bacaan yang berada dalam simpanan saya. Semoga pembaca mendapat manfaat catatan yang saya perolehi dari sumber di internet.

1.0 PENGENALAN

Ketrampilan diri bermaksud kecekapan, kemampunan dan kecekatan seseorang individu yang tinggi dalam mengurus atau melaksanakan sesuatu, menyelesaikan masalah dan sebagainya.

Personaliti, penampilan, komunikasi, etika kerja dan sebagainya adalah adalah kriteria yang dapat mencerminkan ketrampilan diri seseorang.



2.0 KRITERIA KETRAMPILAN DIRI

2.1 PERSONALITI

Personaliti bermaksud keperibadian dan perwatakan. Setiap individu mempunyai personaliti yang digambarkan melalui keperibadian dan perwatakannya. Kedua-dua unsur ini mempunyai pertalian yang rapat dan berupaya meningkatkan personaliti seseorang.

2.2 PENAMPILAN

Kajian oleh pakar-pakar psikologi mendapati, paras rupa, gerak-geri dan air muka sangat besar peranannya bagi meningkatkan daya pengaruh seseorang. Orang yang mempunyai penampilan yang menarik, memiliki keyakinan diri yang lebih tinggi, mempunyai sikap yang lebih optimis dan pandai bercakap (petah) berbanding mereka yang tidak mempunyai sikap tersebut. Sehubungan itu untuk meninggikan daya pengaruh, pastikan orang yang hendak kita motivasi atau pengaruhi itu menyukai penampilan kita. Penampilan kita akan mencerminkan sikap kita terhadap diri sendiri, orang lain, masa dan tugas yang kita jalankan.

- Berjalan dengan tegak dan bertenaga menggambarkan seseorang individiu yang bijak menggunakan masa manakala individu yang berjalan seperti orang malas menggambarkan seolah-oleh masa tidak berharga.

- Audiens sentiasa menilai sama ada kita orang yang berjaya, berfikiran terbuka, mempunyai perjuangan atau matlamat, boleh dipercayai, berilmu, berakhlak tinggi, jujur, matang dan lain-lain sewaktu mendengar kita bercakap.


2.2.1 GAYA BERDIRI

Gaya berdiri yang betul amat mustahak apabila kita berbual berbual atau bergaul dalam sesuatu majlis kerana ini akan melambangkan yang kita minat berinteraksi dengan orang lain.

 

Perkara-perka berikut perlu diberi perhatian, iaitu;
i. Tubuh badan hendaklah berdiri betul atau tegak iaitu dada ke hadapan dan perut ke dalam.

ii. Air muka sentiasa dalam keadaan tenang dan bertenaga.

iii. Kepala dalam keadaan tegak, bukan mendongak ke atas dan dagu ke hadapan atau menuduk ke bawah.

iv. Dagu dalam keadaan sudut tepat dengan leher.

v. Sentiasa memberi senyuman dan dalam keadaan riang.

vi. Tangan berada di sisi badan atau bergenggaman di hadapan badan. Elak berpeluk tubuh, tangan di dalam saku seluar atau di belakang badan.

vii. Angkat rangka rusuk dan dada terbuka untuk memudahkan pernafasan.

viii. Kaki terbuka sedikit dalam keadaan jam 10.00 untuk lelaki bagi memudahkan mengalih graviti badan sekiranya berdiri dalam jangka masa yang lama.

ix. Rapatkan kedua-dua kaki serta kaki kanan ke hadapan sedikit bagi wanita. Elakkan berdiri dalam keadaan terkangkang dan membongkok.

2.2.2 GAYA BERJALAN

Gaya berjalan yang menarik akan membuatkan anda diminati dan dihormati.

Berikut adalah panduan gaya berjalan yang betul bagi faedah kesihatan dan pergaulan sosial;

i. Luruskan bahagian badan iaitu kepala dan badan hendaklah seimbang. Tulang punggung sama tengah. Ini membolehkan kita bebas melangkah.

ii. Mulakan langkah berpijak di atas tumit kemudian atas jari kaki.

iii. Setiap langkah mengikut bayangan garis lurus. Kepala tegak memandang ke hadapan.
iv. Melangkah dalam keadaan sederhana. Bagi wanita elakkan berjalan seperti lelaki walaupun dengan memakai seluar. Mulakan langkah dengan kaki kanan, rapatkan kedua-dua kaki tetapi elakkan dari bergesel.


2.2.3 GAYA DUDUK DI KERUSI

i. Duduk dengan perlahan dan beransur ke belakang apabila punggung sudah mencecah tempat duduk bagi wanita tetapi kaki jangan sampai tergantung.

ii. Rapatkan kaki dan lutut. Wanita boleh meletakkan kaki menyerong ke sebelah kanan atau kiri tetapi elakkan daripada menyilangkan kaki.

iii. Duduk dalam keadaan tegak, kempiskan perut.

iv. Tangan di atas paha. Bagi wanita elak daripada meletakkan tangan di atas lengan kerusi.

v. Elakkan menggoyang-goyang kaki.


2.2.4 GAYA BANGUN DARI KERUSI

i. Elakkan daripada terlalu membongkokkan badan.

ii. Luruskan badan dan tegakkan kepala.

iii. Gunakan otot paha dan sendi-sendi kaki apabila bangun.


2.2.5 TATACARA MASUK DAN KELUAR KERETA

i. Ketika hendak masuk kereta sama ada melalui pintu hadapan atau pintu belakang, hendaklah masuk secara sisian.

ii. Masukkan bahagian punggung dahulu, kemudian barulah kedua-dua belah kaki dengan cara mengangkat dan meletakkan kaki ke dalam.

iii. Semasa keluar, keluarkan kedua-dua belah kaki dahulu, baru bangun dan keluar dari kereta.


2.2.6 KESOPANAN DALAM MAJLIS

Antara perkara yang perlu dielakkan apabila berada dalam sesuatu majlis termasuklah;
i. Menggoyang-goyangkan kaki sama ada semasa duduk atau berdiri.

ii. Mengunyah gula-gula getah atau sebagainya sambil bercakap.

iii. Mencelah perbualan orang lain yang sedang asyik berbual.

iv. Bercakap dengan mulut yang penuh dengan makanan.

v. Menggigit kuku, mengorek telinga, hidung dan mencungkil gigi di khalayak ramai.

vi. Membiarkan sudu dalam gelas atau cawan. Mengacau kopi/the dengan bunyi yang kuat.

vii. Meletakkan barangan peribadi di atas meja.

viii. Berbedak, bergincu dan bersikat rambut di khalayak ramai.

ix. Berbisik-bisik sesama teman.

x. Bercakap dengan nada suara yang tinggi.

xi. Mengguna atau berjenaka lucah.


2.2.7 ADAB DAN TERTIB DI MEJA MAKAN

i. Elak daripada membelek-belek perkakasan yang disediakan dan membincangkannya dengan teman semeja atau mengambilnya sebagai cenderahati.

ii. Kain napkin hendaklah diletakkan di atas pangkuan dan jangan diselitkan pada tali pinggang atau pada tali leher. Kain napkin ini juga digunakan untuk mengesat mulut dan untuk menutup mulut ketika membuang tulang yang terselit. Jika kain ini terjatuh minta bantuan pelayan.
Apabila meninggalkan tempat duduk buat sementara, letakkan kakun ini di atas kerusi. Sekiranya kain ini diletakkan di atas meja, pelayan akan mengemaskan peralatan di atas meja kerana menandakan anda tidak akan kembali ke tempat duduk.

iii. Selepas makan, pisau dan sudu atau garpu diletakkan rapat di sebelah kanan pinggan dengan cabang garpu dan susu ditelentangkan.


2.3 KOMUNIKASI

Secara ringkas komunikasi bermaksud pertukaran dan pemahaman maklumat antara pihak-pihak yang terlibat.
French (1993) berpendapat komunikasi adalah satu usaha mewujudkan saling memahami dalam minda orang lain. Komunikasi yang berkesan berlaku sekiranya mesej yang disampaikan itu dapat difahami oleh penerima sebagaimana sepatutnya difahami.

Komunikasi interpersonal pula ialah bagaimana seseorang itu berkongsi pengalaman dengan individu-individu lain. Setiap orang mempunyai pengalaman dan pengetahuan. Apabila seseorang itu menyampaikan pengalaman dan pengetahuannya kepada individu lain, itu dinamakan berkomunikasi secara interpersonal.

Mesej ialah istilah lain untuk isi atau kandungan komunikasi. Terdapat mesej lisan dan bukan lisan. Mesej lisan ialah sebarang bentuk komunikasi yang dibuat tanpa menggunakan kata-kata. Contoh berdiri, gerak-geri tangan, ekspresi muka dan sebagainya.


2.3.1 ETIKA KOMUNIKASI

Etika komunikasi interpersonal sangat penting dipatuhi dan diamalkan walau dengan siapa kita berkomunikasi sama ada dengan kawan ataupun lawan. Antara etika tersebut ialah;

i. Bersikap jujur.
ii. Tidak menuduh.
iii. Nilai bersama – tidak bercakap ikut sedap mulut.
iv. Gambaran tepat – menyampaikan maklumat dengan tepat.
v. Berkata benar – tiada niat menipu atau memperdaya.
vi. Mematuhi etika – tidak mengumpat atau bergosip.
vii. Selaras – kata-kata sama seperti gerak-geri (Komunikasi lisan
sama dengan komunikasi bukan lisan).
viii. Tidak mengganggu – tidak menyampuk dan memotong orang
lain yang sedang bercakap.
ix. Sikap positif.


2.3.2 FAKTOR-FAKTORMEMPENGARUHI KEBERKESANAN KOMUNIKASI.

Banyak faktor yang mempengaruhi keberkesanan komunikasi. Antaranya ialah tahap kecerdasan dan pengetahuan sedia ada penerima, saluran yang digunakan, gangguan persekitaran dan budaya penerima serta pengirim. Untuk membina komunikasi interpersonal yang berkesan bukan suatu yang mudah kerana proses ini melibatkan beberapa faktor. Ada faktor yang dapat dikawal dan diatasi, ada faktor yang tidak dapat diatasi sepenuhnya tetapi masih dapat dikurangkan kesannya.

Antara faktor yang mempengaruhi dan selalunya menimbulkan masalah untuk berlakunya komunikasi yang berkesan adalah seperti berikut;

i. Perbezaan latar belakang dan pengalaman.

Perbezaan bangsa, bahasa, tahap pendidikan, pengetahuan dan kemahiran boleh menjadi sebab terhalangnya komunikasi yang berkesan. Ini berlaku kerana mesej yang disampaikan tidak difahami dan dihayati sebagaimana yang dikehendaki oleh penyampai.

ii. Perhatian yang terhad.

Kebiasaannya ramai orang akan menapis mesej yang disampaikan dan hanya akan memberi perhatian kepada mesej yang disukai atau yang sesuai dengan pegangan, pendapat atau cita rasanya sahaja.

iii. Prasangka/ prejudis/ tanggapan awal.

Prasangka atau tanggapan awal ini akan menyebabkan berlakunya halangan mental dan akan mempengaruhi mesej yang diterima. Mesej yang diterima akan ditafsirkan mengikut kehendak dan selera sendiri.

iv. Faktor situasi.

Perasaan takut, marah, rasa tidak selamat dan kebisingan akan menyebabkan penghantaran dan penerimaan mesej terganggu.

v. Perasaan dan emosi.
Jika penerima dan penyampai mesej tidak peka kepada aspek-aspek emosi dan perasaan, komunikasi yang dilakukan menjadi kurang berkesan.

Untuk mengatasi halangan-halangan di atas, pemberi dan penerima mesej perlu memahami kandungan mesej yang ingin disampaikan dan memilih media atau saluran yang sesuai.


2.3.3 KOMUNIKASI BUKAN SEKADAR BERCAKAP

Kajian-kajian menunjukkan apabila berlaku komunikasi bersemuka, kurang dari 10% impak datang dari perkataan yang diucapkan, manakala lebih 90% impaknya datang dari bahasa bukan lisan.

Pakar-pakar komunikasi menganggarkan hanya 10% komunikasi kita diwakili oleh kata-kata, 30% diwakili oleh bunyi yang dihasilkan dan 60% diwakili oleh bahasa gerak-geri atau komunikasi bukan lisan.

Komunikasi bukan lisan termasuklah ekspresi muka, konteks mata, pergerakan kaki dan tangan, postur badan, jarak, perawakan dan nada suara.


2.3.4 PERANAN PROKSEMIK

Proksemik adalah kajian mengenai apa yang dikomunikasikan dengan melihat cara seseorang itu menggunakan ruang. Edwart T. seorang ahli antropologi telah membuat kajian mengenai proksemik. Beliau telah membahagikan empat zon peribadi manusia yang digunakan semasa berkomunikasi.

i Zon mesra/ rapat
(15sm hingga 46sm) - suami, isteri, kekasih, kanak-kanak, kawan rapat

ii Zon Peribadi
(46sm hingga 120sm)
- pihak lain dalam majlis sosial atau jamuan.

iii Zon Sosial
(120sm hingga 360sm) - orang yang tidak dikenali, klien (atau rakan sekerja yang kurang dikenali.

i Zon Umum
(lebih 300sm) - Ketua berhubung dengan subordinat- nya atau jarak yang diambil oleh seseorang penceramah dengan pendengar.


2.3.5 UNSUR PENTING DALAM KOMUNIKASI INTERPERSONAL.

Terdapat sembilan unsur penting yang perlu diberi perhatian dalam komunikasi interpersonal.

i. Komunikasi Mata.
a. Kemesraan, ancaman dan pembabitan – Kemesraan dan ancaman bererti memandang seseorang melebihi 10 saat hingga 1 minit.

b. Lima saat untuk keberkesanan yang lebih – memandang seseorang selama 5 ke 10 saat sebelum memandang ke arah lain sewaktu berkomunikasi.

c. Awasi lontaran pandangan (Eye-Dart) – Apabila mengalami tekanan, kita selalu memandang ke arah lain. Ini menonjolkan ketakutan kita dan merendahkan keupayaan kita. Tidak memandang terus kepada orang yang bercakap dengan kita menyebabkan pendengaran kita kurang selesa.

d. Awasi Slo-Blink – Slo Blink ialah apabila seseorang itu memejamkan mata selama 2 hingga 3 saat. Ini memberi mesej dia kurang selesa.

e. Sudut tuju mata – menumpukan pandangan kepada seorang daripada sejumlah peserta yang ramai melebihi 5 saat akan menyebabkan pendengar yang lain membuat tanggapan anda hanya bercakap dengan orang itu sahaja.

ii. Polisi tubuh dan pergerakan badan – posisi tubuh yang baik membayangkan keyakinan anda.

a. Berdiri dengan tegak.
b. Beri perhatian posisi bahagian bawah tubuh anda.
c. Bergerak – Pergerakan yang sesuai dan tepat akan
menambahkan tenaga, menunjukkan keyakinan dan memberi
variasi dalam komunikasi.
d. Cipta gaya tersendiri – membuat sesuatu yang bersesuaian
dengan gaya peribadi anda.

iii. Gerak isyarat dan air muka.

iv. Pakaian dan perawakan.

v. Suara dan kepelbagaian suara.

vi. Bahasa dan berhenti sejenak – bahasa yang sesuai serta tepat dan berhenti sejenak apabila perlu.

vii. Mendapatkan penglibatan pendengar.

viii. Penggunaan gurau senda.

ix. Gunakan sifat semulajadi anda – bakat.


2.3.6 HALANGAN KOMUNIKASI

Antara halangan-halangan yang menyebabkan kegagalan komunikasi ialah;
i. Persengketaan
ii. Sikap negatif
iii. Prestasi rendah
iv. Kefahaman tidak jelas
v. Prasangka
vi. Tawar hati
vii. Dengki
viii. Berkomplot-komplot


2.3.7 FAKTOR-FAKTOR KOMUNIKASI TIDAK EFEKTIF

i. Bahasa - perkataan tidak sesuai, bahasa yang berbeza, Kefahaman yang berbeza, pertuturan yang tidak jelas.
ii. Status - status yang berbeza.
iii. Umur - Tua muda/ perbezaan pengalaman
iv. Jarak - Jauh atau dekat, halangan kebisingan, nada suara
yang kurang jelas.
v. Prasangka - dari segi tugas dan prestasi, dari segi sosial.
vi. Sikap - kompleks dalam diri (rendah diri/sombong).
vii. Kecacatan Pancaindera - cacat anggota pertuturan/ pendengan seperti mulut, lidah, telinga dan sebagainya.
viii. Struktur organisasi - Sistem birokrasi dalam organisasi.


2.3.8 TATACARA MENGACARA MAJLIS
Seseorang pengacara majlis yang cemerlang mempunyai kualiti dan kriteria berikut:

i. Kebolehan fizikal.
a. Fasih dalam penggunaan bahasa.
b. Mudah mesra.
c. Mahir dalam bidang protokol.
d. Tidak gagap.
e. Empati (daya menyelami dan memahami perasaan perasaan atau emosi orang lain).
f. Tidak berdarah gemuruh.
g. Kestabilan emosi.
h. Tidak cacat anggota.
i. Bersedia bekerjasama
j. Cepat dalam pergerakan.
k. Ketaatan kepada prosedur.
l. Tidak panik.
m. Boleh menggunakan budi bicara.
n. Tidak berwatak serius.
o. Mempunyai sense of humor.
p. Berfikiran positif dan kreatif
q. Memahami psikologi manusia
r. Memahami bahasa isyarat
s. Mahir mengawal suara dengan baik.

ii. Kebolehan Intelektual

a. Taakulan
b. Kebolehan mengira
c. Ketajaman ingatan
d. Ketajaman gerak batin
e. Ketinggian daya ingatan.
f. Kelancaran bahasa.

iii. Ciri-ciri Perawakan

a. Perawakan muka yang menarik
b. Pakaian yang bersesuaian
c. Hiasan wajah yang mesra
d. Gaya diri yang bersesuaian
e. Mempunyai teknik mengawal gemuruh


3.0 KETEPATAN MASA

Ketepatan masa sememangnya ditekankan oleh Perintah Am Bab G (1974). Individu yang ingin mencapai kecemerlangan diri perlu membahagikan masa dengan sebaik-baiknya supaya masa tidak dibuang begitu sahaja. Antara perancangan yang perlu diambil kira bagi memastikan masa digunakan secara efektif ialah;

3.1 Tentukan tugas-tugas utama.
3.2 Sediakan barangan yang diperlukan sebelum menjalankan tugas.
3.3 Elak daripada membuat perkara yang sama berulang kali.
3.4 Tetapkan masa untuk menyimpan sesuatu tugas.
3.5 Rangka satu strategi yang sesuai.
3.6 Membuat jadual harian atau senarai semak.
3.7 Bahagian tindakan yang perlu diambil kepada 5 kategori:
3.7.1 Penting dan segera.
3.7.2 Penting tetapi tidak segera.
3.7.3 Segera tetapi tidak penting.
3.7.4 Kesibukan
3.7.5 Membuang masa.


4.0 RUMUSAN

Pembangunan diri, pendidikan dan harga diri adalah tiga ciri utama yang perlu ada di dalam diri individu yang berjaya.

4.1 Antara ciri-ciri individu yang berjaya ialah;

4.1.1 Yakin kepada diri sendiri

Yakin terhadap diri sendiri merupakan ciri asas individu yang berjaya dalam hidup. Mereka sentiasa yakin terhadap setiap kerja yang dilakukan dan sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru.

4.1.2 Cintakan ilmu pengetahuan

Ilmu adalah kunci kejayaan setiap individu. Mereka sentiasa mencari peluang untuk meningkatkan ilmu pengetahuan.

4.1.3 Mempunyai personaliti yang baik

Individu yang berjaya sentiasa menjaga tingkah laku serta tutur kata agar tidak menyinggung perasaan orang lain. Setiap pandangan dan pendapat orang lain akan diterima dengan fikiran yang terbuka dan berusaha mengubah sikap negatif yang ada dalam diri.

4.1.4 Mempunyai cara hidup yang teratur

Bijak mengatur masa merupakan salah satu ciri individu yang cemerlang. Mereka mendisiplinkan diri dengan menepati setiap perancangan yang telah ditetapkan.

4.1.5 Mampu berkomunikasi dengan baik

Individu yang berjaya mampu berkomunikasi dengan baik dan teratur serta berjaya menghindari perasaan malu serta yakin dengan apa yang diperkatakan.

4.1.6 Berpendirian tegas

Individu yang berilmu tidak mudah untuk terpengaruh dengan pandangan dan gejala-gejala yang negatif.



SUMBER RUJUKAN

Abdullah Hassan dan Ainon Mohd. Kemahiran Interpersonal Untuk Guru Bestari, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd, Kuala Lumpur, 2000.

Edwin C. Bliss, Bagaimana Menyelesaikan Kerja, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1992.

Jean M. Harris, Kemahiran Penyampaian Untuk Guru, Institut Terjemahan Negara Malaysia Bhd, Kuala Lumpur, 1997.

-----------------, Kamus Dewan Edisi Ketiga, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1994.

Mokhtar Mohd Tohar, Protokol dan Etiket, Institut Tadbiran Awam Negara, Kuala Lumpur, 1993.

Mustafa Haji Daud, Pengurusan Islam, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 1994.

Rahmat Ismail, Etika Sosial : satu peradaban dalam kehidupan sosial manusia, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, ……

Zulkifli Yusof, Sukarkah Komunikasi Anda?, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 2000.

Popular posts from this blog

kenapa display LCD Projector warna kuning

Paparan (display) LCD Projector yang berwarna kuning menyakitkan mata jika dilihat dengan jangka masa yang lama. Tambahan pula, ia digunakan ketika seminar, mesyuarat ataupun presentation syarikat menambahkan ketidaksempurnaan semasa perkara agenda sedang berlangsung. Kebiasaannya, display yang berwarna kuning ini disebabkan kabel vga ataupun bulp(lampu) lcd projector itu sendiri. Meskipun kabel vga adalah baru, cara lain adalah cuba tukar kepada kabel vga yang lain. Dan jika display masih berwarna kuning, cubalah tukarkan bulp lcd projector ataupun lakukan sedikit penyelenggaraan pada lcd projector tersebut. Bulp lcd projector  adalah mengikut kepada jenis model lcd yang digunakan. Dapatkan orang yang kompeten untuk menukar bulp ini.

Tips-tips memenangi peraduan di Malaysia

Saya seorang yang sukakan peraduan. Jujurnya of course saya mengharap untuk menang dalam setiap peraduan. Namun sehingga entri ini ditulis, hanya satu peraduan sahaja yang saya baru menang. MENTOS . Hadiahnya adalah voucher KFC bernilai RM10. At least merasa juga menang hadiah peraduan than nothing kan? Syukur Alhamdulillah. Saya mencari reliable sources di internet dan terjumpa tentang cara untuk menang peraduan dari peraduanmalaysia.blogspot Mari kita lihat mengenai entri yang ditulis, Semoga pembaca akan mendapat sedikit tips dari artikel tersebut. 3 ciri asas peraduan yang boleh anda juarai

Parit Buntar pusat kain murah?

Betul ke tajuk entry ni? Untuk pengetahuan..tajuk entry ni adalah ayat2 yang keluar daripada mulut kawan2 saya..memang ramai yang claim cakap di Parit Buntar ni harga kain murah2..Tak tahu nak cakap betul ke tak..kalau nak tahu kena datang dan tengok sendiri. Gambar2 berikut ni sebahagian aje..sebenarnya banyak lagi kedai kain yang jual dengan harga borong..cuma saya je yang tak larat nak snap. Kedai Qistina ni saya dah masuk..dalam kedai ni tudung dan baju adalah design terkini. Siap ada tukang jahit lagi di bahagian belakang kedai..mungkin untuk pelanggan yang nak tempah kot..err..saya masuk untuk survey je.. Kedai pemborong tudung bawal ni..memang dah lama bertahan..meskipun banyak persaingan daripada kedai2 kain yang lain. Satu lagi kedai kain..yang pemiliknya orang Kampuchea..betul ke ejaan ni? Dan gambar terakhir di atas ni adalah pasar Kemboja. atau pasar kampuchea. Memang terkenal kat Parit Buntar..Ramai peniaga2 di Parit Buntar yang turun ke pasar ni untuk beli kain yang datan